Sunday, September 12, 2010

Kaedah rawat luka


sebelum - selepas

RAWAT luka dengan ulat? Eii... gelinya! Benarkah berkesan? Tidakkah nanti luka bertambah besar? Ini reaksi orang sihat tetapi bagi pesakit, ia satu pilihan menarik untuk dicuba, apatah lagi selepas semua kaedah rawatan lain kurang berkesan dan masih tidak mampu menyembuhkan luka mereka.
Tidak, jumlah ulat yang dimasukkan ke dalam luka tidak dikira dan pesakit tidak perlu bimbang kerana ia hanya memakan daging busuk.

Selepas dua hari, luka dibuka dan dicuci dengan teliti hingga bersih sebelum diberi ubat. Biasanya selepas prosedur ‘pembersihan luka’ dengan ulat, luka kelihatan berwarna merah; satu petanda positif kerana ia mempunyai salur darah halus yang membawa darah beroksigen dan nutrien — dua elemen penting bagi proses penyembuhan.


Sebenarnya, penggunaan ulat antara kaedah bagi merawat luka dan ia biasanya pilihan terakhir untuk luka teruk dan dalam; selepas pelbagai cara lain masih tidak mampu memberi kesan diharapkan.

Luka terjadi apabila kulit (lapisan luar dipanggil epidermis) tercedera. Lain luka, lain cara merawatnya; bergantung kepada bagaimana ia terjadi dan seteruk mana keadaannya.

Tempoh pemulihan juga bergantung kepada jenis luka, berapa teruk atau luas kawasan yang tercedera. Luka yang sembuh biasanya meninggalkan sedikit parut.

Menurut Ketua Jururawat Hospital Assunta, Lim Bee Sung, penjagaan luka yang baik bertujuan mengurangkan kemungkinan berlakunya jangkitan dan parut.

Luka boleh dikelaskan kepada beberapa jenis; bergantung kepada objek yang menyebabkan luka dan cara luka dikenakan hingga membawa risiko tertentu membabitkan kerosakan tisu dan jangkitan.

  • Luka tergores — Akibat terkena objek tajam seperti pencukur. Salur darah terpotong lurus dan pendarahan mungkin meleleh banyak. Struktur lain seperti tendon, saraf atau arteri mungkin tercedera

  • Luka melecet atau kulit terkoyak — Berpunca daripada daya himpitan atau geseran. Pendarahan tidak banyak tetapi mungkin menyebabkan banyak tisu rosak. Luka begini boleh dicemari kuman dan berisiko alami jangkitan

  • Lelas — Lapisan kulit paling atas (luar) tersiat dan menyebabkan kawasan lembut di bawahnya terdedah. Ia terjadi akibat tergelincir atau luka terbakar yang bergeser. Luka ini biasanya mengandungi habuk yang terbenam pada kulit dan boleh menyebabkan jangkitan

  • Lebam — Ia terjadi apabila salur darah halus (kapilari) di bawah kulit pecah dan darah masuk ke dalam tisu. Ia boleh terjadi akibat terkena hentakan kuat, tampar atau tumbuk. Ada kala kulit merekah. Jika lebam teruk, bermakna kecederaan di bawah kulit lebih teruk

  • Luka tercucuk — ‘Luka bocor’ ini biasanya berlaku apabila terpijak paku atau tercucuk jarum. Kawasan yang cedera kecil tetapi dalam dan berisiko alami jangkitan

  • Luka tikaman — Berpunca daripada alat yang tajam dan panjang seperti pisau. Luka tikaman yang dalam hingga sampai ke tulang perlu dirawat dengan rapi kerana ia boleh mengancam nyawa

  • Luka tembakan — Akibat terkena peluru atau misil; menyebabkan kecederaan dalaman yang parah. Ia boleh terkena pada kulit atau menembusi tubuh. Luka masuk (peluru masuk) biasanya kecil dan bersih tetapi luka keluar (peluru keluar) besar dan bercalar

  • Luka tekanan (ulser yang disebabkan bahagian tertentu terlalu lama tidak mendapat bekalan darah) — Biasanya luka ini dialami pesakit yang terlantar sama ada di belakang punggung atau tumit kaki

    Bagaimanapun, di negara kita, kebanyakan luka yang dirawat di hospital adalah di kalangan pesakit kencing manis. Oleh kerana edaran darah yang kurang baik ke kaki pesakit diabetes, luka kecil pun lama baru boleh sembuh.

    Kebanyakan pesakit tidak menyedari kehadiran luka yang lama-kelamaan membesar dan semakin sukar dirawat. Luka yang sukar dirawat sehingga menyebabkan kerosakan (kematian) banyak tisu pada kaki menjadi antara penyebab utama banyak kes amputasi (pemotongan kaki) di kalangan pesakit.

    Pembalut atau pembebat luka

    Luka yang sudah dibersihkan perlu dibubuh ubat dan dibalut. Orang dulu menggunakan pelbagai bahan untuk membalut luka termasuk kain, sarang labah-labah, najis lembu yang dikeringkan, daun dan madu. Bagaimanapun, pembalut luka yang sesuai digunakan ialah kain kasa (disertakan bahan untuk mengekalkan kebersihan luka atau ubat mempercepatkan penyembuhan luka).

    Secara tradisional, luka yang sudah dibersihkan ditutup dengan kain kasa dan dibalut bagi mengelak jangkitan. Bagaimanapun, dengan kaedah ini luka perlu dibersihkan dan dibalut semula setiap hari.

    Kini banyak bahan digunakan untuk membalut luka, antaranya filem, gel, buih, hidrokoloid, alginate, hidrogel dan pes polisakarida, granul dan manik. Kebanyakan kain kasa pembalut luka mempunyai lapisan filem tidak melekat bagi mengelak luka terlekat pada gaus.

    “Rawatan luka kini tidak terhad kepada satu jenis saja. Biasanya kaedah rawatan luka berubah mengikut keperluan. Ada pesakit dirawat dengan gel atau buih. Apabila luka semakin kering, baru ditukar kepada kaedah tradisional (kain kasa).

    “Pembalutan luka ada beberapa tujuan; bergantung kepada jenis, keterukan dan kedudukan luka. Bagaimanapun, semuanya mempunyai sasaran sama — merangsang mempercepatkan pemulihan dan menghalang sebarang perkara yang boleh mengancam luka.

    “Banyak jenis pembalut atau pembebat digunakan dalam rawatan. Ia berfungsi memperkemas balutan luka, mengawal pendarahan, menyokong dan mencegah pergerakan pada anggota yang cedera serta mengurangkan bengkak,” katanya.

    Secara umumnya jenis pembebat digunakan ialah pembebat bergulung (bergetah atau tidak — bagi memperkemas dan menyokong anggota tercedera); pembebat ‘tubular’ menyokong balutan pada jari atau sendi; pembalut segi tiga yang biasanya diguna sebagai anduh.

    Balutan pembebat tidak boleh terlalu ketat kerana ia akan menjejaskan aliran darah di kawasan di luar pembalutan. Jika peredaran terjejas, tanda yang boleh muncul ialah anggota tubuh menjadi bengkak, kulit biru, urat menonjol, sakit dan berdenyut, sejuk dan kebas.

  • Menghentikan pendarahan — kain pembalut bertindak mempercepatkan proses pembekuan darah

  • Menyerap bahan yang keluar dari luka — Ini termasuk darah, plasma dan lain cecair

  • Mengurangkan kesakitan — sesetengah pembalut luka mempunyai kesan melegakan kesakitan

  • Menyingkir kulit berkeruping dan bahan asing dari dalam luka

  • Melindungi daripada jangkitan dan kerosakan mekanikal

  • Merangsang penyembuhan

  • Mengekalkan kelembapan dan pH optimum untuk merangsang penyembuhan

    Penyembuhan

    Proses penyembuhan ada empat fasa:

  • Fasa keradangan — Fasa ini bermula apabila kecederaan berlaku. Dalam fasa ini anda mengalami pendarahan, salur darah dengan segera menjadi sempit, pembentukan darah beku berlaku dan pelbagai bahan kimia dihasilkan untuk memulakan proses penyembuhan. Pada ketika ini sel khas akan terhasil untuk membersihkan sisa luka dalam masa beberapa hari.

  • Fasa proliferatif — Dalam fasa ini sel matriks (jaringan sel) mula terbentuk. Pada matriks ini sel kulit dan salur darah baru dihasilkan. Salur darah yang sangat halus (dipanggil kapilari) ini membuatkan bahagian luka berwarna merah.

    Salur darah baru ini membawa bekalan oksigen dan zat (nutrien) untuk mengekalkan sel baru dan menyokong penghasilan protein (kolagen). Kolagen ini bertindak sebagai ‘rangka’ di mana tisu baru akan terbentuk.

    “Selalunya orang bimbang jika melihat luka mereka merah dan berdarah. Jangan risau, ia menunjukkan bahagian luka itu masih mempunyai aliran darah yang baik dan peluang untuk sembuh cepat adalah tinggi jika ia dirawat secepat mungkin dengan kaedah sesuai,” kata Lim.

  • Fasa pembentukan semula — Fasa ini bermula selepas dua hingga tiga minggu. Rangka kolagen menjadi lebih tersusun dan ia menguatkan lapisan tisu. Ketumpatan salur darah semakin berkurang dan luka mulai hilang warna kemerahannya. Dalam tempoh enam bulan, bahagian berkenaan semakin kuat dan akhirnya mencapai 70 peratus kekuatan kulit yang tidak cedera.

  • Fasa pembentukan epitelial — Ini proses pembentukan lapisan luar kulit. Kulit menghasilkan lapisan pemisah antara persekitaran luar dan badan. Tujuan utamanya untuk melindungi badan daripada kehilangan air berlebihan dan bakteria. Pembentukan semula lapisan ini bermula beberapa jam selepas kecederaan dan selesai dalam tempoh 24 hingga 48 jam pada luka yang bersih dan berjahit.

    Luka yang terbuka mengambil masa lebih lama (tujuh hingga 10 hari) kerana proses keradangan berlanjutan menyebabkan pembentukan parut. Parut terjadi apabila luka yang anda alami adalah dalam; menembusi lapisan dalam kulit (dermis).

    Panduan untuk pesakit

  • Orang tua, terutama pesakit kencing manis dan strok, perlu memeriksa kaki jika ada luka. Jika ada luka walaupun kecil, perlu segera dirawat. Jika luka masih tidak sembuh selepas dua minggu, segera ke hospital untuk rawatan lebih terperinci.

  • Jika anda sudah ke klinik tetapi luka tetap tidak sembuh, dapatkan pandangan kedua (daripada doktor lain); mungkin doktor kedua boleh mencadangkan anda berjumpa orang yang ada kemahiran merawat luka (biasanya di hospital). Biasanya pesakit hanya datang ke hospital apabila luka sudah teruk yang bukan saja sukar dirawat, malah mengambil masa lebih lama untuk sembuh.

  • Jangan biar pembalut luka basah atau dalam keadaan lembap kecuali luka yang kotor atau mengalami jangkitan.

  • Terus melakukan senaman pada anggota yang luka atau cedera mengikut keupayaan. Senaman ringan walaupun hanya menggerak-gerakkan anggota yang sakit dapat merangsang aliran darah ke luka dan dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

  • Jika luka berwarna merah atau merah jambu, ia petanda baik kerana banyak salur darah halus di situ yang merangsang dan mempercepatkan proses penyembuhan. Luka yang nampak kering atau mempunyai kulit kering tidak semestinya perkara baik, terutama jika ada luka dalam atau lubang, kerana jika tidak dibersihkan ia mungkin boleh mendapat jangkitan tanpa disedari.

  • Ramai orang risau jika luka yang dialami berdarah. Sebenarnya ini juga perkara baik kerana ia menunjukkan bahagian berkenaan mempunyai bekalan darah.

  • Kawal paras gula darah. Ini penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

  • Walaupun cara terbaik ialah membawa pesakit ke klinik atau hospital untuk membersihkan luka, ia juga boleh dilakukan di rumah. Ahli keluarga perlu belajar cara betul untuk membersihkan luka.

    Yang penting, alat digunakan mestilah steril (direbus dalam air mendidih); cuci tangan setiap kali sebelum dan selepas membersihkan luka. Bawa pesakit ke klinik untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan perkembangan penyembuhan lukanya.

  • sumber: hmetro

    No comments:

    Post a Comment